Aku dan Islam

Sebuah blog yang menceritakan tentang aku, Islam dan hidup aku di sisi Islam....................................................... "Barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima(agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk dalam orang-orang yang rugi" (Ali-Imran, ayat 85)

Aku di SMKA Kuala Selangor

Langkah pertama aku menjejakkan kaki ke sekolah yang sangat membanggakan diriku pada 14 Februari 2005 telah betul-betul mengubah segala aspek kehidupanku. Yang dulunya ilmu agamaku yang sangat sedikit, kini Alhamdulillah banyak ilmu yang aku peroleh di sekolah ini. Itupun masih banyak lagi yang perlu belajar. Subhanallah sungguh luasnya ilmu-Mu. Sesi pelajaran dan pembelajaran sepanjang tingkatan 1, ku tempuhi dengan pelbagai dugaan hidup. Di sinilah aku berkenalan dengan ramai kawanku menjalinkan ukhuwah dan mengukuhkan tali persahabatan. Ya Allah, sungguh manisnya sebuah persahabatan.Rintangan hidupku bertambah hebat apabila memasuki tingkatan 2. Pada saat inilah aku tidak dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran iaitu ketika berada di kelas 2 Takwa. Akibatnya prestasiku merosot. Akupun tidak tahu apa puncanya. Ya Allah, adakah ini ujian daripada-Mu untuk menguji kesabaranku? Persoalan itu menjadi tanda tanya sepanjang berada di tingakan 2 Takwa. Tetapi Alhamdulillah, hidupku diceriakan dengan tingkah laku sahabatku dalam kelas, tidak lupa juga kepada guru kelasku, Ustaz Rahman yang suka membuatku tersenyum. Kehidupanku di kelas 2 Takwa semakin hari semakin ceria. Pada 9 Mac 2006, aku jalani hidupku dengan baik beserta dengan ungkapan ‘hepi besday’ daripada beberapa orang sahabat lelakiku. Perempuan jangan haraplah, rapatpun tidak. Walaubagaimanapun ada seorang sahabat perempuanku dari kelas 2 Iman mengucapkan selamat hari jadi kepadaku. Aku tidak mampu berkata apa, walaupun dengan ucapan ‘terima kasih’, senyumpun susah. Alhamdulillah sahabatku itu masih baik denganku sehingga kini. Masuk ke tingkatan 3, dugaan hidupku semakin mencabar. PMR. Akibat daripada prestasiku yang merosot di tingkatan 2, aku diturunkan kelas ke tingkatan 3 Iman. Bagi aku itu adalah sangat baik bagiku untuk meningkatkan semula prestasiku. Aku sering berdoa kepada-Nya agar dikuatkan diri dan memperoleh keputusan yang cemerlang dalam PMR. Aku teringat kata-kata Ustaz Ghazali Omar dalam ceramahnya yang mengatakan bahawa kita apabila berdoa mesti meminta yang terbaik. Jika kita meminta syurga, mintalah syurga yang tertinggi iaitu Syurga Firdaus. Jika kita meminta keputusan yang baik dalam peperiksaan, mintalah yang paling cemerlang. Kata-kata ini juga mengingatkanku ketika aku berada di darjah 6. Ketika itu aku langsung tidak yakin untuk mendapat 5A dalam UPSR. Aku sering berdoa agar mendapat keputusan paling tinggipun 4A 1B. Aku langsung tidak meminta untuk mendapat 5A. Akibatnya aku mendapat apa yang aku minta iaitu 4A 1B. Menyesal ketika itu langsung tidak berguna bagiku kerana ia telahpun berlalu. Ia hanya boleh menjadi pengajaran bagiku agar apabila berdoa, mintalah yang terbaik. Ya Allah, satu lagi ujian yang aku tidak dapat tempuhi dengan sempurna. Peristiwa itu menjadi sandaran kepadaku ketika hendak mengambil PMR. Aku berdoa meminta keputusan yang terbaik iaitu 9A. Ketika itu aku sangat yakin untuk mendapat 9A dalam PMR ditambahkan lagi dengan kata-kata semangat daripada beberapa orang guruku seperti Ckg. Arbaidah, Sir Mostam dan Ustzh. Suaibah. Selepas PMR berlalu, aku masih lagi berdoa. Tidak putus-putus aku berdoa siang dan malam. Menjelang 27 Disember 2007, aku ke sekolah seorang diri untuk mengambil keputusan PMR. Rasa gementar dan gembira bercelaru dalam fikiranku. Ya Allah, apakah agaknya keputusan yang aku bakal terima sebentar nanti. Setibanya aku di SMKA Kuala Selangor, aku terus ke dewan besar dan berjumpa dengan guru kelasku, Sir Mostam. Aku mengambil keputusan dan mengira bilangan ‘A’. Aku tergamam seketika. BM-A, SEJ - A, KH - A, MATH - A, PAI - A,GEO – A,.........itu sahaja ke? SC – B, BARAB – B, BI – B. Aku mungkin tersalah, aku periksa semula. Memang betul itulah keputusanku. 6A 3B. Ya Allah inikah keputusan yang layak bagiku, layak dengan usahaku selama ini, layak dengan penat lelahku berdoa selama ini. Emak ayahku pasti kecewa dengan keputusan ini. Aku balik dengan perasaan yang kecewa. Setibanya aku di rumah, aku memberitahu keputusanku kepada kedua orang tuaku. Tiba-tiba aku berasa sangat pelik dengan tingkah laku mereka. Mereka sangat gembira dengan keputusan aku termasuk adik-beradikku yang lain. Ya Allah, apa yang telah berlaku? Tidak cukup dengan ungkapan tahniah daripada mereka, beberapa hari kemudian ayahku telah menghadiahkanku duit sebanyak RM600. Aku sangat tergamam. Betul ke ni? Akak aku pula menghadiahkan sebuah jam tangan berjenama CATEPILLAR yang berharga RM200 kepada aku. Alhamdulillah jam tersebut masih baik dalam jagaanku dan aku sentiasa memakainya ketika hari persekolahan. Pada suatu malam, aku tidur lambat memikirkan tentang semua ini. Kenapa boleh jadi begini? Keputusan aku tidaklah seberapa tetapi balasannya melimpah ruah. Barulah aku teringat dengan kata-kata seorang abang tingkatan 5 bahawa Allah tidak semestinya memakbulkan doa kita secara terus. Allah mungkin memakbulkan doa kita melalui cara yang lain. Hal ini telahpun terjadi kepadaku. Allah tidak memakbulkan doa aku untuk mendapat 9A tetapi Dia telah membuat keluargaku sangat gembira dengan keputusan 6A 3B. Pada saat itu aku sangat bersyukur kepada-Nya yang telah memberi aku satu nikmat yang sangat bernilai. Terima kasih ya Allah. 2008 merupakan tahun bagiku yang kehilangan ramai kawanku dan tidak kurang juga mendapat kawan baru. Aku mengambil aliran Sains Tulen. Ada orang mengatakan bahawa aliran tersebut sangat susah dan hanya layak untuk keputusan 9A dan 8A. Aku ingin menjadi seorang doktor dan sains tulen sangat sesuai dengan cita – citaku. Bagaimana hendak menjadi doktor kalau Bio fail. Pada peperiksaan awal tahun, aku mendapat markah 26/100 dalam sub. Bio. Macam mana nak jadi doktor kalau keputusan macam ni. Aku munasabah diri. Sejak daripada itu aku gigih belajar Bio, cuba untuk meminatkan diri dalam sains. Pada awalnya aku tidak meminati subjek sains, mana tidaknya masa PMR pun dapat B sahaja. Ya Allah, kuatkan hatiku untuk mendalami ilmu ini, senangkanlah dan jangan Kau susahkan. Pada peperiksaan pertengahan tahun, Alhamdulillah prestasi aku meningkat secara mendadak. Dari markah 26/100 meningkat ke 66/100. Aku semakin meminati Bio. Aku mendapat keputusan ‘A’ dalam peperiksaan dalaman 2, tapi cukup-cukup makan jer la, 70/100. Peningkatan lagi dalam peperiksaan akhir tahun, iaitu 84/100. Nampak macam aku menjalani kehidupan dengan baik ketika berada di tingkatan 4 Takwa, tetapi dugaan hidup aku semakin bertambah lebih – lebih lagi setelah menjadi senior. Masuk tingkatan 5 pula, sedar tak sedar, aku di tahun terakhir berada di SMKA Kuala Selangor. Pada tahun terakhir inilah tahun yang sangat malang bagi batch-12. Banyak masalah disiplin, banyak difitnah oleh form lain dan macam – macam lagi. Aku tidak mampu berbuat apa – apa, hanya mampu untuk melihat dan berdoa. Aku tidak seperti sahabat – sahabatku yang lain, yang mampu bersuara menegakkan keadilan. Pernah dalam bulan Ramadan yang penuh barakah, aku bangun seawal 4 pagi untuk tahajjud. Aku melakukan solat sunat hajat khas untuk kawan – kawan aku dan batch 12. Aku meminta dan berdoa kepada-Nya agar diberi petunjuk dan pelindungan kepada mereka dengan bersungguh – sungguh. Tidak sangka pada pagi itu, tanpa disedari aku telah mengalirkan air mata ketika berdoa kepada-Nya. Pantang aku mengenangkan nasib kawan – kawan dan batch 12, pasti air mataku akan mengalir. Ya Allah, selamatkanlah kami, dapatkanlah kami meninggalkan sekolah ini dengan kenangan yang manis dan diingati oleh guru – guru yang lain. Pada suatu hari, ada seorang guru praktikal menggantikan Ustazah Nasimah yang cuti bersalin. Ustazah Sharifah Alweeyah namanya. Ada satu ungkapan menarik daripadanya yang betul – betul mengubahku. Katanya lebih kurang seperti ini, “jika kita tidak ada masa dengan Allah, Allah juga tidak ada masa dengan kita”. Mungkin pernah kita terlalu sibuk untuk belajar sehingga tidak ada masa untuk Allah. Cuba ubah situasi demikian. Bahagikan mase untuk Allah dan hal – hal lain. Ungkapan dari ustazah ini telah menjadi moto dalam hidupku. Setiap kali hendak melakukan sesuatu, aku pasti akan teringatkan kata – kata ini. Urusanku dengan Allah sudah selesai atau belum? Ketika musim peperiksaan SPM, aku bangun seawal 4.30 pagi untuk pergi bertemu-Nya. Berdoa agar dikuatkan semangat, disihatkan tubuh badan dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM. Ada sebilangan kawanku yang bangun awal untuk belajar. Mungkin bagi mereka, ia merupakan waktu terbaik untuk belajar. Tetapi tidak bagi aku, aku tidak pernah bangun awal semata – mata untuk belajar. Bagi aku inilah masa yang terbaik untuk bertemu-Nya. Tidak cukup lagikah masa untuk belajar. Cuba bayangkan, seawal jam 8 pagi kita mula belajar sehingga lewat malam. Bila masa untuk Allah? Masa solat fardu sahaja ke? Takkan lah masa untuk belajar boleh lebih tapi masa dengan Allah tidak boleh lebih. Sedangkan Allah yang memberikan kecemerlangan tersebut. Menjelang sahaja 16 Disember 2009, selepas kertas Syariah 1, tamatlah perjuangan kami di SMKA Kuala Selangor. Bermulalah perpisahan aku dengan sahabat – sahabat ku yang lain. Perpisahan yang tidak dapat dielakkan. Ya Allah, janganlah kau putus tali persahabatan kami ini yang terjalin kukuh. Janganlah kau jauhkan kami malah dekatkanlah kami. Insya-Allah dengan izin-Nya, kita akan bertemu lagi. Hanya doa sebagai pendekatan dan yang lain kita serahkan kepada-Nya untuk menentukan. Amin ya rabbal alamin........................................................................


 
back to top