Aku dan Islam

Sebuah blog yang menceritakan tentang aku, Islam dan hidup aku di sisi Islam....................................................... "Barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima(agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk dalam orang-orang yang rugi" (Ali-Imran, ayat 85)

Hukuman Cuci Tandas Jer...!!!

Baru-baru ini, pada hari Jumaat bersamaan 2 April 2010, kita digemparkan dengan satu berita yang menjadi tajuk utama kebanyakan akhbar-akhbar iaitu mengenai penukaran hukuman dari hukuman sebat kepada hukuman kerja amal, CUCI TANDAS. Kartika Sari Dewi, 33, dijatuh hukuman enam kali sebatan beserta denda RM5,000 kerana didapati bersalah meminum arak di khalayak ramai di sebuah resort di Cherating, Pahang pada sekitar bulan Julai tahun 2009 yang lalu. Namun demikian, semua itu bertukar kepada hukuman cuci tandas pada 2 April 2010 yang lalu apabila sultan pahang sendiri yang mengubahnya. Alhamdulillah, sedikit muqaddimah dari saya apabila terdetik di hati saya untuk mengeluarkan post ini pada hari Jumaat yang lalu ketika saya menghadiri khutbah Jumaat di Masjid Besar Sungai Buloh. Khatib pada ketika itu ialah Ustaz Nazmi, seorang yang masih muda dalam lingkungan 30 tahun, berjubah putih serta berserban putih. Tajuk khutbah beliau pada ketika itu ialah ‘mempermainkan hukuman Allah’. Masjid buat pertama kalinya bergema segema-gemanya apabila khatib bersuara dengan nada yang sangat marah dan kuat kepada sistem pemerintahan negara kita mengenai hukuman kepada pesalah. Jemaah yang berhampiran saya yang tawaduk tidur terus segar apabila mendengar laungan suara khatib. Inilah buat pertama kalinya saya mendengar suara khatib yang sekuat ini dan pertama kali juga melihat tiada jemaah yang tidur ketika khatib membaca khutbah.

Masya-Allah, lihatlah pemimpin sekarang sudah berani melawan hukum Allah sehinggakan orang yang ingin dihukum dengan hukuman Allah, telah dibantah sekeras-kerasnya oleh pemimpin. Hebat sangatkah kita untuk menentukan hukuman yang sepatutnya kepada pesalah yang melakukan kesalahan yang berat seperti minum arak. Sesungguhnya Allah telah menetapkan hukuman bagi beberapa kesalahan yang dilakukan oleh umat Islam melalui al-Quran dan as-Sunnah. Hukuman ini lebih dikenali sebagai hukuman hudud. Hukuman hudud merupakan hak Allah yang tidak boleh ditukar ganti, diubahsuai dan dipinda. Antara kesalahan yang wajib dilaksanakan hukuman hudud adalah minum arak. Maka wajiblah bagi setiap pemimpin untuk melaksanakan hukuman ini kepada pesalah. Tapi bagaimana dengan pemimpin kita sekarang bukan sahaja tidak melakukan hukuman ini malah berani bertindak bijak dari Allah dengan menukar hukuman ini kepada hukuman yang lain. Mereka inilah golongan yang berpaling dan mendustakan ayat-ayat Allah. Firman Allah yang bermaksud;

“...oleh itu siapakah yang lebih zalim lagi daripada mereka yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan berpaling daripadanya? Kami akan membalas orang-orang yang berpaling daripada ayat keterangan Kami (dengan) azab seksa yang seburuk-buruknya, disebabkan mereka sentiasa berpaling (mengingkarinya).” (al-An’aam, 157)

Allah telah menetapkan hukuman kepada peminum arak dengan 40 kali sebatan. Hukuman ini dilaksanakan dari zaman Rasulullah hingga zaman pemerintahan khalifah Abu Bakar As-Siddiq. Pada zaman pemerintahan khalifah Umar Al-Khattab, Umar telah menambah sebanyak 40 kali sebatan lagi kepada peminum arak menjadikan ia sebanyak 80 kali sebatan kesemuanya dan hukuman ini wajib dilaksanakan oleh pemerintah umat Islam selepasnya. Janganlah kita terus mentafsir apabila mendengar bahawa Saidina Umar menambah 40 kali lagi sebatan sebagai mengada-ngadakan hukuman. Sebenarnya, 40 sebatan yang pertama ialah hukuman Hudud dan 40 sebatan yang kedua ialah hukuman Takzir. Allah telah memberikan kuasa kepada pemimpin untuk menjalankan hukuman mengikut kesesuaian kesalahan. Inilah dinamakan hukuman Takzir. Siapalah kita untuk dibandingkan dengan pemimpin yang dijanjikan syurga seperti Saidina Umar ini. Setiap kata-kata mereka boleh dipercayai. Jika hendak dibandingkan pemimpin kita sekarang dengan pemimpin seperti Saidina Umar, amatlah jauh sekali bagai langit dengan bumi malah lebih jauh lagi. Tetapi ada pemimpin negara kita yang bertindak mengikut hawa nafsu masing-masing, bercakap seperti orang yang dijanjikan syurga dan bagai mengaku dirinya lebih hebat dari tuhan. Firman Allah, maksudnya;

"Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka..." (al-Maidah, 49)

Larangan dari tidak berhukum dengan hukuman Allah, sangat jelas di dalam al-Quran. Allah sangat benci kepada pemimpin yang tidak menjalankan hukuman Allah kepada pesalah. Jika kita teliti betul-betul, Allah telah menyatakan sebanyak 3 kali dalam surah al-Maidah pada akhiran setiap ayat iaitu pada ayat ke 44, 45 dan 47. Maksudnya;

“…dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” (al-Maidah, 44)

“…dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim”. (al-Maidah, 45)

“…dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik”. (al-Maidah, 47)

Kesimpulannya di sini, jika hukuman ini tidak dijalankan, maka lebih ramailah terutamanya umat Islam yang makin berani melakukan kesalahan-kesalahan besar dalam Islam. Mana tidaknya, jika minum arak hanya dihukum cuci tandas sahaja!. Para pemimpin perlulah sedar mengenai perintah Allah ini. Ulama’-ulama’ perlu mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pemimpin yang tidak memimpin berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Jangan sampai Allah memberi bala kepada negara kita yang selama ini aman dan selamat. Allah bukan memberi bala kepada yang tidak mengikut perintahnya tetapi semua sekali akan kena. Sama-samalah kita berdoa agar pemimpin-pemimpin kita diberikan hidayah oleh Allah dan dijauhkan dari balanya. Amin. Sekian. Wallahu-A’lam.

Dajjal, Persoalan Umat Akhir Zaman.

Perihal mengenai dajjal sering ditimbulkan sejak kebelakangan ini oleh umat Muhammad zaman sekarang. Persoalan mengenai rupa bentuk, masa dan perkara-perkara yang berkaitan dengan dajjal sering menjadi bualan orang. Ada yang membeli buku mengenai dajjal, asyik bertanya kepada guru mengenai dajjal dan beberapa cara lain untuk mendapatkan kepastian mengenai dajjal. Tidak salah untuk mengetahui perkara ini kerana ia juga merupakan ilmu. Perihal mengenai dajjal ini termasuk dalam perkara-perkara al-ghaibiyah dan kita tidak digalakkan untuk mendalami perkara al-ghaibiyah dengan begitu terperinci. Dalam blog Ustaz Azhar Idrus ada menerangkan mengenai dajjal berdasarkan hadis-hadis Rasulullah. Di sini saya selitkan artikel tersebut untuk dijadikan tatapan semua pembaca. Senang cerita post saya ini bukanlah COPY&PASTE semata-mata, tetapi hanya CUT&PASTE, (n_n). Hanya pendahuluan dan penutup sahaja diolah oleh saya. Ok la tu, ada usaha jugak.;

Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: “Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah bersabda: “Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.

“Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.

“Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis ‘kafir’, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.

“Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, iaitu panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.

“Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: “Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?” Orang Arab itu akan berkata: “Tentu.” Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: “Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu.”

“Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, iaitu dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: “Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: “Siapa Tuhanmu?” Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: “Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah.” Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga.”

Kata Rasulullah s.a.w lagi: “Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.

“Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.

“Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal, kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.”

Dalam hadis yang lain, “di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman mereka subur.”

Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai.”

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda: “Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu. Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi.”

Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang diterima dari Aisyah r.a. mengatakan: “Pernah satu hari Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis. Melihat saya menangis beliau bertanya: “Mengapa menangis?” Saya menjawab: “Ya Rasulullah, engkau telah menceritakan Dajjal, maka saya takut mendengarnya.” Rasulullah s.a.w berkata: “Seandainya Dajjal datang pada waktu aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya. Kalau dia datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta dan tidak pula cacat.”

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada empat puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa.”

Ada yang bertanya: “Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu.”
Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: “Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan izinku. Apakah kamu bermaksud menahannya?” Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan.

Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: “Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?” Mereka semua menjawab: “Ya, kami ingin.” Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.

Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh. Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas’ud dan kemudian membunuh Dajjal itu.”

Demikianlah beberapa hadis Rasulullah mengenai perihal Dajjal. Kita dinasihatkan agar tidak terlalu taksub untuk meneka siapa Dajjal itu sebenarnya. Kita hanya dituntut untuk persiapkan diri dengan iman dan takwa bagi menghadapinya agar selamat dari fitnahnya. Berdoalah agar kita dimatikan sebelum keluarnya dajjal kerana bimbang iman kita yang sedikit ini akan mudah dipesongkan dan tersasar dari jalan-Nya. Waiazubillahi Minalzaliq. Sekian. Wallahu-A’lam.


 
back to top