Aku dan Islam

Sebuah blog yang menceritakan tentang aku, Islam dan hidup aku di sisi Islam....................................................... "Barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima(agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk dalam orang-orang yang rugi" (Ali-Imran, ayat 85)

9 Akal 1 Nafsu, 1 Akal 9 Nafsu???

Ungkapan lelaki mempunyai 9 akal, 1 nafsu dan perempuan mempunyai 1 akal, 9 nafsu sudah menjadi ayat yang biasa didengari dan sentiasa berlegar-legar di fikiran masyarakat kini. Ada segelintir masyarakat yang mendengar dan mempedulikannya, ada juga yang mendengar dan menjadikannya sebagai bahan untuk merendahkan darjat wanita, ada juga yang mendengar dan menafikan kebenarannya terutama bagi wanita. Namun sejauh mana kesahihan ungkapan ini. Betulkah apa yang kita dengar selama ini merupakan satu kelebihan bagi lelaki dan satu kekurangan bagi wanita yang Allah kurniakan? Pernahkah Allah berfirman berkenaan ungkapan di atas begitu juga dengan junjungan besar baginda Rasulullah S.A.W, pernahkah baginda bersabda berkenaan ayat ini? Alhamdulillah, sedikit muqadimah dari saya untuk memulakan tajuk post saya pada kali ini. Agak banyak sumber yang saya dapat untuk mengeluarkan tajuk ini dan agak pening untuk mengeluarkan post yang agak panjang lebar ini dan post yang sebelum ini iaitu mengenai ‘syaitan’ selama dua hari berturut-turut. Walau bagaimanapun, dengan izin-Nya, dapat saya siapkan untuk tatapan pembaca semua.

Berbalik kepada tajuk kita semula. Ada segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan kurang ilmu mengenai ini sengaja mengeluarkan satu tajuk yang betul-betul ingin menghina dan menjatuhkan martabat kaum hawa. “Lelaki 9 akal, Wanita 1 akal, Binatang 0 akal”, beginilah lebih kurang tajuknya. Apa pendapat para pembaca mengenai tajuk ini terutama golongan hawa sekalian? Bukankah ini merupakan satu penghinaan yang disengajakan? Ada pula yang mengatakan bahawa taraf wanita itu hampir sama dengan binatang. Tetapi itu merupakan kata-kata orang yang tidak mempunyai ilmu dan kurang didikan agama. Bagaimana pula dengan firman Allah dalam surah At-Tinn, ayat 4 yang bermaksud;

Sesungguhnya kami telah jadikan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian”

Bukankah kata-kata sebentar tadi bercanggah dengan firman Allah ini? Berhati-hatilah apabila ingin berkata-kata dan jangan sampai kerana mulut, badan binasa. Ada juga yang mengatakan bahawa ungkapan di atas diambil daripada hadis Rasulullah S.A.W. Namun, sejauh mana sesahihan hadis tersebut dan apakah taraf hadis berkenaan? Mungkin ia sahih, mungkin daif ataupun kemungkinan besar ia maudu’ semata-mata. Untuk pengetahuan para pembaca, berdasarkan sumber yang saya dapat, memang tiada satu pun nas yang menceritakan mengenai ungkapan ini. Kemungkinan besar ada nas yang menceritakan bahawa lelaki mempunyai lebih banyak akal berbanding wanita tetapi tidaklah menyebut jumlah akal seperti mana ungkapan di atas. Namun ada satu kisah pendek yang sangat menarik untuk dijadikan renungan bersama.

Kisah ini menceritakan mengenai dua orang tokoh Islam yang hebat pada zaman dahulu dan sehingga kini masih lagi diingati. Imam Hasan Al-Basri dan anak muridnya Rabiah Adawiyah. Siapa tidak kenal dengan kedua-dua tokoh Islam ini. Sebelum saya mulakan kisah mengenai tokoh-tokoh ini, ingin saya ceritakan sedikit mengenai mereka. Ini sekadar untuk menambah ilmu bagi yang tidak tahu. Rabiah Adawiyah adalah seorang ahli sufi yang terkenal. Berasal dari keluarga yang miskin namun kaya dalam aspek kerohanian. Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan Al-Basri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafsu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat. Bapa Rabiah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya, Rabiah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabiah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam. Nama penuh Hassan Al-Basri adalah Al-Hassan bin Abil-Hassan Al-Yassar. Ayahnya merupakan orang tahanan dan dibawa ke Madinah. Di situ, bapanya berkahwin dengan ibunya al-Khayrah. Hassan Al-Basri dilahirkan di Madinah pada masa pentadbiran Khalifah Umar b. al-Khattab pada tahun 21 Hijrah. Pernah disusukan oleh Ummu Salmah isteri Rasulullah S.A.W. ketika ibunya keluar melaksanakan suruhan beliau. Hassan Al-Basri pernah berguru kepada beberapa orang sahabat Rasul S.A.W. sehingga beliau muncul sebagai ulama’ terkemuka dalam peradaban Islam. Hassan Al-Basri meninggal di Basrah, Iraq, pada 110 Hijrah. Beliau pernah hidup pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Imam Hassan al-Basri merupakan contoh ikutan dalam merubah kemungkaran dengan hikmah dan nasihat yang baik. Beliau lebih mengutamakan kaedah mengubah kemungkaran dengan kerugian yang paling minima, kerana menolak kemudaratan lebih diutamakan berbanding dengan memperolehi maslahat.

Mengenai kisah menarik yang ingin saya kongsikan bermula begini; Pada suatu hari, Imam Hasan Al-Basri bersama dua orang sahabatnya pergi ke rumah Rabiah Adawiyah untuk meminangnya untuk salah seorang daripada mereka. Niat murni mereka disambut baik oleh Rabiah. Rabiah akan menjawab sama ada beliau bersetuju atau tidak dengan pinangan itu jika soalannya dijawab. Lalu Rabiah bertanya kepada mereka, ”Berapakah nafsu bagi lelaki dan berapakah nafsu bagi wanita?”. Lantas Imam Hasan Al-Basri menjawab, ”Lelaki mempunyai satu nafsu dan wanita mempunyai 9 nafsu”. Rabiah tersenyum lalu berkata, “Jika benar apa yang kamu katakan sebentar tadi, kenapa kamu tidak boleh menahan nafsumu meskipun kamu mempunyai satu nafsu sahaja dan kenapa aku boleh menahan nafsuku meskipun aku mempunyai 9 nafsu?”. Mendengar kata-kata daripada Rabiah itu, mereka pun tunduk malu dan sedih lalu meminta diri untuk pulang dalam keadaan yang kecewa dan janggutnya basah terkena air matanya yang mengalir keluar. Demikianlah satu kisah pendek mengenai pinangan Imam Hasan Al-Basri terhadap Rabiah Adawiyah. Berdasarkan kisah tadi, jelaslah bahawa wanita mempunyai nafsu lebih banyak daripada lelaki tetapi ini bukan untuk merendah-rendahkan kaum hawa. Jauh sekali untuk menghina mereka. Bahkan cerita ini meningkatkan lagi martabat kaum hawa dan maruah diri mereka sendiri. Bukankah begitu kaum hawa sekalian?

Baiklah sekarang mari kita guna akal yang dikurniakan Allah kepada kita untuk berfikir sedikit mengenai ungkapan di atas. Akal berfungsi untuk memberi pertimbangan terhadap sesuatu, pendapat atau memilih sesuatu. Jika betullah lelaki mempunyai banyak akal berbanding wanita, memang tidak mustahil kerana Allah banyak memberikan tugas kepada kaum Adam di atas kelebihan yang Dia berikan. Bagi contoh yang paling mudah, kita lihat dalam soal talak dalam rumah tangga suami isteri. Allah berikan kuasa talak kepada suami kerana lelaki boleh membuat pertimbangan yang betul dan berfikir jauh sebelum menjatuhkan talak kepada isteri. Allah tidak beri kepada isteri kerana wanita susah untuk berfikir panjang dengan apa tindakan yang mereka buat. Jika kuasa talak diberi kepada isteri, tidak mustahil sudah banyak kes cerai di Malaysia. Bukankah hal ini nyata lebih jelas bahawa lelaki mempunyai lebih banyak akal berbanding wanita? Lelaki lebih banyak menggunakan akal daripada perasaan dan emosi manakala wanita sebaliknya. Ini semua fitrah yang telah dijadikan Allah kepada kaum Adam dan Hawa. Mana tidaknya, wanita diberi tugas biologi yang sangat berbeza berbanding lelaki. Wanita diberi tugas mengandung, menyusu, menjaga anak dan tugas-tugas lain. Perasaan dan emosi mempunyai nilai yang tinggi dan amat diperlukan sekali untuk mewujudkan kasih sayang, sedangkan akal mengalahkan perasaan dan kasih sayang. Selalunya apabila seorang bapa memarahi anaknya, si ibulah yang menenangkan keadaan dan memberikan belaian kasih sayang kepada si anak. Kekurangan akal pada kaum hawa bukan satu penghinaan malah ia satu kelebihan yang patut dibanggakan oleh wanita dengan fitrah femininnya. Sama juga kalau kita lihat bahawa wanita ‘kurang’ dari segi agamanya. Wanita tidak perlu solat dan puasa apabila haid dan nifas. Tidak wajib solat Jumaat, tidak wajib jemaah di surau atau masjid dan tidak wajib untuk ke medan jihad. Kekurangan yang Allah beri ini bukanlah bermaksud wanita kurang pahala berbanding lelaki. Tidak. Masing-masing mendapat ganjaran pahala yang sesuai dengan tugasnya. Firman Allah dalam surah An-Nisa’, ayat 32 yang bermaksud;

Bagi lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan bagi wanita ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan”.

Kesimpulan yang boleh saya buat di sini, ungkapan lelaki mempunyai 9 akal 1 nafsu, wanita mempunyai 1 akal 9 nafsu dan ungkapan lelaki 9 akal, wanita 1 akal, binatang 0 akal, merupakan ungkapan yang sengaja dibuat bertujuan untuk meninggikan martabat kaum Adam atau lebih berbau male chauvinist di samping merendahkan martabat kaum hawa. Siapalah kita untuk berdiri mulia di sisi Allah dengan amalan yang tidak seberapa. Kita hanya manusia yang dijadikan daripada air yang hina dan daripada tanah yang selalu kita pijaknya setiap masa. Janganlah kita menghina sesuatu kaum itu kerana kemungkinan mereka lebih baik daripada kita. Bukan untuk memuji kaum hawa dan bukan untuk mengeji kaum Adam. Hanya sekadar peringatan sahaja. Akhir kata daripada saya, kelebihan yang Allah beri kepada lelaki dan wanita mungkin berbeza tetapi hakikatnya sama sahaja. Allah itu maha Adil. Kelebihan yang Dia beri sebenarnya sama. Cuma kita sahaja yang alpa walaupun sudah bertahun-tahun hidup leka menikmati nikmat-Nya. Sekian. Wallahu-A’lam.

Menyebut Tentang Jin, Iblis dan Syaitan

Semakin lama kita hidup semakin meningkat umur kita dan semakin dekat masanya untuk kita bertemu dengan-Nya. Pernahkah kita merenung sedetik tentang amalan dan dosa yang kita lakukan selama ini yang akan dilihat dan dibalas oleh-Nya di akhirat kelak? Hidup memang susah dan Allah tidak menjadikannya senang. Oleh sebab itulah Dia menciptakan Syurga dan Neraka kepada manusia dan jin. Selama sebulan menyepikan diri dari menghantar post ke blog saya ini, alhamdulillah dapat juga menyiapkan tajuk ini walaupun sudah sebulan teringin untuk mengeluarkan artikel ini. Hidup kita menjadi susah untuk mendekatkan diri kepada-Nya dengan kehadiran beberapa ciptaan Allah, seperti Jin, Iblis, Syaitan dan Nafsu. Nafsu boleh dikawal jika betul caranya. Nafsu tidak mengajak manusia itu selain dari melakukan keburukan. Tetapi sedarkah kita bahawa masih ada lagi makhluk yang mengganggu kita iaitu Syaitan. Dia susah hendak dikawal apatah lagi dididik. Sememangnya tidak boleh. Ia sudah menjadi tugas bagi Syaitan untuk menyuruh melakukan kemungkaran kepada Allah. Ia juga sejajar dengan janjinya kepada Allah bahawa dia akan merosakkan anak-anak Adam hingga hari kiamat. Apa yang kita boleh lakukan untuk mengelak dari tipu daya Syaitan ini adalah dengan menjauhinya. Bagi saya, sememangnya tiada satu carapun untuk mengelakkan diri kita dari gangguan Syaitan. Mana tidaknya, sedangkan Nabi kita sendiri sering diganggu oleh Syaitan. Apatah lagi bagi kita yang jauh ke belakang dari Nabi. Namun dalam usaha untuk menjauhinya, kita mestilah tahu sedikit sebanyak mengenai makhluk Laknattullah ini. “Tak kenal maka tak cinta”. Itulah ungkapan yang sering dikeluarkan dari mulut masyarakat Melayu kini. Tetapi tidak semestinya apabila kita kenal, kita kena cinta dan tidak semestinya kita kenal siapa itu Syaitan, kita kena suka dia. Tidak. Tolong ubah sedikit maksud sebenar ungkapan tersebut. Kadang-kadang tidak boleh pakai juga ungkapan ini.

Baiklah berbalik kepada topik utama kita, agak terpesong sedikit tadi. Ada beberapa hadis yang banyak menyebut mengenai perihal Iblis dan Syaitan. Ada satu hadis yang ingin saya kongsikan di sini iaitu hadis riwayat Anas bin Malik R.A. ;

"Iblis telah bertanya pada Allah: wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan anak Adam tempat kediaman untuk mereka berteduh dan berzikir kepada-Mu, oleh itu tunjukkanlah padaku tempat kediaman untukku."
Firman Allah:
"Tempat kediamanmu adalah di dalam tandas."
Iblis bertanya lagi:
"Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan anak Adam berkumpul di masjid, di manakah pula tempatku berkumpul?"
Firman Allah:
"Tempatmu berkumpul ialah di pasar-pasar, pesta, pusat membeli belah, kelab malam, tempat hiburan serta majlis-majlis maksiat."
Iblis bertanya:
"Wahai Tuhanku, Engkau berikan anak Adam itu kitab (al-Quran) untuk mereka membacanya, tunjukkanlah apa pula bahan bacaanku?"
Firman Allah:
"Bacaan untukmu ialah syair dan sajak yang melalaikan."
Iblis bertanya:
"Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan kepada mereka cerita-cerita benar, apakah pula cerita bagiku?"
Firman Allah:
"Cerita bagimu ialah kata-kata kesat dan dusta."
Iblis bertanya:
"Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan azan kepada anak Adam untuk mereka memanggil orang sembahyang, apa pula azan untukku?"
Firman Allah:
"Azan untukmu ialah seruling."
Iblis bertanya:
"Wahai Tuhanku, Engkau telah menghantar utusan-Mu melalui para rasul dan juga nabi, siapakah yang menjadi utusanku?"
Firman Allah:
"Para utusan mu terdiri daripada bomoh, tabib dan dukun yang menduakan Aku."
Iblis Bertanya:
"Wahai Tuhanku, Engkau berikan kitab suci al-Quran yang bertulis kepada mereka, apakah pula tulisan bagiku?"
Firman Allah:
"Tulisanmu ialah tatu, gincu serta lukisan di badan."
Iblis bertanya:
"Ya Tuhanku, Engkau berikan anak Adam perangkap, apakah pula perangkap bagiku?"
Firman Allah:
"Perangkap bagimu ialah wanita."
Iblis bertanya:
"Ya Tuhanku, Engkau berikan mereka minuman yang halal yang disebutkan nama-Mu, apakah pula minuman untukku?"
Firman Allah:
"Minumanmu ialah sesuatu yang memabukkan serta yang tidak disebutkan nama-Ku padanya."

Selain itu, Syaitan juga mempunyai nama masing-masing berserta dengan tugas yang tertentu. Ada satu artikel yang saya jumpa mengenai nama-nama Syaitan dalam Surah Al-Fatihah yang boleh tersebut namanya jika tersalah membacanya. Antara nama Syaitan dalam surah Al-Fatihah jika tersalah bacaan ialah;

1) syaitan yang bernama DU LI LAH (bila dibaca tiada sabdu) sepatutnya DULILLAH

2) syaitan yang bernama HIR ROB (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya HI ROB

3) syaitan yang bernama KIYYAU (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya KI YAU

4) syaitan yang bernama KANNAK (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya KA NAK

5) syaitan yang bernama KANNAS (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya KA NAS

Tetapi saya tidak boleh memastikan kesahihan nama Syaitan ini kerana ia telah dibahaskan oleh Dr. Amran Kasimin. Beliau menolak kebenaran nama Syaitan di atas kerana ia tidak mempunyai sumber yang sahih. Tetapi jika betul ia palsu sekalipun, tidak salahkan kita memperbaiki bacaan Surah Al-Fatihah lebih-lebih ia merupakan rukun dalam solat. Ada beberapa nama Iblis yang mempunyai sumber yang insya-Allah, sahih iaitu dalam hadis riwayat Abdullah bin Muhammad bin Ubaid daripada Mujahid yang bermaksud;

“Iblis mempunyai lima anak, masing-masing diberi tugas, iaitu Thabur, A’war, Masuth, Dasim dan Zalambur. Thabur berurusan menggoda orang yang ditimpa musibah agar meratap, mengoyak-ngoyak pakaian dan meratap ratapan jahiliah: A’war ditugaskan menggoda manusia melakukan zina. Masuth ditugaskan menggoda manusia agar mencampuradukkan berita benar dengan palsu serta menimbulkan fitnah. Dasim pula menggoda suami agar marah isteri, manakala Zalambur, menyemarakkan manusia agar menipu ketika di pasar”.

Dalam artikel Dr. Amran Kasimin, dalam kitab Raji Al-Asmar iaitu Al-Jin, ada menyebut nama Al-Ghaddar, Al-Khabil dan Al-Hajis iaitu nama-nama jin jahat yang mengganggu manusia. Al-Khabil misalnya dirujuk sebagai jin yang merasuk manusia yang boleh menyebabkan gila, Al-Hajis ialah jin khas yang boleh menyebabkan manusia berasa waswas, dan juga yang membisikkan telinga manusia agar timbul waswas. Nama jin lain yang disebut ialah At-Tabi’, ataupun Qarin, yang hidup bersama dengan manusia, ia terdiri daripada lelaki dan perempuan, manakala Al-Hatif ialah jin yang suaranya dapat didengar oleh manusia tetapi tidak dapat dilihat. Jin yang dinamakan Al-Amir tinggal di tempat tertentu di tempat tinggi seperti di kemuncak gunung, di lembah-lembah, rumah yang ditinggalkan, di kubur atau di bumbung rumah. Nama lain ialah Asy-Syaqq iaitu syaitan yang boleh menjelma separuh bentuk manusia yang kadang-kadang mengganggu manusia ketika musafir keseorangan. Nama lain yang lebih dikenali ialah al-Wilha, iaitu golongan jin yang mengganggu manusia ketika mengambil air sembahyang, menyebabkan seseorang itu mengambil wuduk berulang kali. Manakala Khanzab ialah syaitan yang mengganggu manusia ketika mendirikan sembahyang, menyebabkan seseorang itu berniat berulang kali, memesongkan ingatan manusia kepada peristiwa di luar sembahyang menyebabkan hilang rasa khusyuk.

Demikianlah beberapa info mengenai perihal Jin, Iblis dan Syaitan. Sama-samalah kita renungkan bagi memperbaiki mutu amalan kita di samping mengurangkan sedikit demi sedikit amalan buruk kita selama ini. Insya-Allah. Sekian. Wallahhu-A’lam. (n_n)



 
back to top