Pada post saya pada kali ini, saya agak malas untuk menulis post saya sendiri berbanding post saya sebelum ini yang dicipta sendiri oleh saya. Cuma pada kali ini saya ingin menforwardkan satu kisah yang saya baca dari laman web iLuvIslam yang bertajuk “Muslimah VS PLKN”. Ada beberapa ayat yang saya padamkan agar post saya tidak terlalu panjang. Cerita ini ditujukan umum kepada semua pembaca dan khas kepada kaum hawa sekalian. Ceritanya bermula dari sini;
Kisah ini saya titipkan buat muslimin dan muslimat yang sudi mendengar luahan dari kisah saya ini. Saya bukanlah hendak menuding jari kepada sesiapa, dan tidak terlintas walau sedetik di hati saya ingin menyakitkan hati sesiapa. Saya cuma ingin berkongsi pendapat dan pengalaman tentang cerita yang bakal saya persembahkan dalam artikel ini. Saya merupakan kelahiran bumi maahad yang sentiasa ditarbiahkan dengan cara-cara hidup islam yang syumul. Di sini saya bukan hendak menyanjungi diri, cuma hendak memudahkan kalian memahami kisah ini. Saya merupakan seorang yang agak pendiam tetapi tegas dan bijak dalam berhujah tentang agama. Sahabat mahupun adik-adik, sering bertanyakan pendapat daripada saya mengenai agama. Di madrasah, saya juga dikenali sebagai muslimah yang anti terhadap sosial. Saya tidak suka akan pergaulan bebas yang tiada tujuan bahkan hanya sekadar mengikuti perkembangan zaman.
Saya telah dikejutkan dengan berita yang sememangnya tidak dapat diterima oleh akal saya sendiri. “Saya terpilih untuk mengikuti program latihan khidmat negara?”. Berderau darah saya apabila mengetahui akan berita tersebut. Saya malu untuk memberitahu kepada sahabat, ustaz dan ustazah tentang pemilihan ini. Tanpa saya sedari, ustaz telah mengetahuinya juga. Ustaz hanya mampu memberikan nasihat dan kata-kata semangat buat bekalan saya di sana. Selepas saya menduduki SPM, saya cuba untuk mencari alasan supaya mendapat pengecualian daripada menjalani PLKN. Sahabat saya telah menasihatkan saya supaya meneruskan pengajian dengan mengambil STAM sahaja. Niat di hati, saya tidak mahu mengambil STAM, kerana saya mahu menyambung pengajian dalam aliran sains. Saya hanya mampu berserah ke hadrat ilahi dan hanya mampu berdoa. Tiba hari yang tidak pernah saya nantikan, iaitu hari pendaftaran ke PLKN. Saya membuat persediaan ala kadar dan mengisi borang yang disediakan. Saya diiringi oleh keluarga menuju ke pusat berkumpulnya peserta PLKN. Saya melihat air mata umi dan kakak menitis. Saya pasti mereka risau dengan diri saya. Berkali-kali saya mengingatkan kepada mereka bahawa saya mampu menjaga diri sendiri, dan berjanji dengan mereka, saya tidak akan sekali mengubah penampilan dan cara hidup saya. Saya yakin dengan janji Allah, bahawa Dia sering melindungi hamba-Nya yang bertaqwa. Pertama kalinya saya menjejakkan kaki ke PLKN, saya berasa diri amat asing di situ. Saya melihat pakaian dan cara pergaulan mereka amat berbeza di madrasah. Saya sedar diri ini diperhatikan, bukan kerana paras rupa, tetapi pemakaian saya. Berbaju kurung dan bertudung labuh. Kebetulan pada masa itu saya tidak menyarung jubah, kalau tidak, pasti bertambah pelik mereka memandang saya. Selepas pendaftaran, saya dibawa ke bilik dan diberikan pakaian yang telah disediakan oleh PLKN. Penghuni di bilik saya datangnya dari beberapa buah negeri. Mulanya mereka kelihatan seperti pendiam, dan tidak berani berbicara antara satu sama lain. Tetapi apabila sudah mengenali antara satu sama lain, kami lebih akrab rupanya.
Saya mengalami kejutan budaya, apabila menyedari saya bakal bercampur dengan masyarakat yang terdiri daripada Cina, India dan Melayu. Tambahan pula, saya melihat pergaulan antara perempuan dan lelaki tiada batasan. Buat pertama kalinya, semua peserta PLKN perlu memakai pakaian t-shirt yang telah diberikan. Bagi muslimah pula, diwajibkan untuk memakai tudung, tetapi perlu dimasukkan ke dalam baju. Sejenak saya terfikir, bagaimanalah rupa saya memakai pakaian seperti itu, sedangkan memakai tudung segi tiga pun saya tidak pernah. Saya bergegas pulang ke bilik dan menangis sepuas-puasnya. Adakah ini ujian bagi saya? Allah mesti mahu menduga iman saya. Apabila sahabat ana sedang enak dibuai mimpi, saya pula bangun bermunajat kepada-Nya. Malam itu juga saya meminta petunjuk dari-Nya supaya memberikan ketabahan kepada diri ini untuk menjalani hidup di bawah pemeliharaan-Nya. Saya menjalani aktiviti seperti biasa. Sememangnya di PLKN, lelaki dan perempuan diasingkan. Tetapi hanya pembelajaran di dalam kelas CB sahaja tidak diasingkan. CB ialah character building yang bermatlamat untuk mengajar peserta membina keyakinan dalam bergaul sesama masyarakat. Saya berasa agak gugup dan kaku berada di dalam kelas tersebut buat pertama kalinya. Saya akan bersuara jika aktiviti yang dilakukan benar-benar menyalahi hukum agama dan saya akan melibatkan diri jika aktiviti itu benar-benar meyakinkan saya bahawa ia membawa kepada kebaikan. Saya bernasib baik mendapat fesi yang amat memahami. Terima kasih kepada fesi yang membenarkan saya untuk menjaga batasan ini. Jika berada di dewan, saya tetap mengekalkan identiti sebagai remaja islam. Saya menyedari, di dalam dewan itu tiada yang memakai baju kurung mahu pun bertudung labuh. Saya tetap dengan pendirian saya mengekalkan identiti ini. Saya pernah mendengar sahabat-sahabat mempertikaikan tentang tudung saya. Mereka mencadangkan saya memakai tudung lain. Saya pernah menyatakan kepada sahabat bahawa pendirian saya, “walaupun di madrasah semuanya terdiri daripada kaum hawa, saya tetap memakai tudung labuh, inikan pula di PLKN yang terdiri daripada jantina yang berbeza, rasanya pasti susah.” Apabila saya masuk ke dalam bilik, saya mendengar sahabat saya menyatakan pendapatnya. Dia mengatakan bahawa tudung yang saya pakai besarnya sama dengan selimut. Daripada ungkapan itu, saya berasa seolah-olah sudah berputus asa dalam memperjuangkan hak islam. Tetapi Allah lebih mendahului perasaan saya, Allah cuba untuk menyedarkan saya supaya mengenangkan kembali apa yang telah dipelajari di madrasah dahulu. Saya terkenang kepada ustaz yang setiap hari mengajar saya erti Islam. Saya terkenang akan pengorbanan ustazah yang berusaha untuk menjadikan saya sebagai muslimah yang sejati. Saya juga terkenangkan di mana sebenarnya saya dilahirkan. Jadi, saya tidak mahu menyerah kalah dengan hanya mendengar omongan dan umpatan sahabat-sahabat.
Saya cuba untuk membantu mereka dengan mengajar serba sedikit apa yang telah saya pelajari di madrasah dan memberikan sedikit nasihat. Ada yang hendak menerimanya, dan ada yang sekadar mengambil ringan sahaja. Hakikatnya, manusia memang sukar untuk menerima perubahan diri ke arah kebaikan. Mereka akan menyedarinya apabila ditimpa kesusahan dan kemalangan sahaja. Benarlah apa yang berlaku pada zaman sekarang, bahawa manusia mudah leka dengan dunia dan lupa pada akhirat. Kebudayaan kaum di Malaysia juga diterapkan kepada peserta di dalam PLKN ini. Saya tidak berani untuk melibatkan diri dalam sebarang aktiviti kebudayaan. Pergaulan terlalu bebas. Saya takut, saya takut dengan Allah. Saya takut ada yang memandang selain-Nya. Saya bukan hendak mengasingkan diri daripada dunia sebenar, tetapi inilah hakikat yang perlu saya hindarkan. Pada waktu malam, saya melihat sahabat-sahabat ana sibuk ber ‘sms’. Di tempat baru, mesti ada yang hendak dikenali, dan hendak pula dikenalkan. Begitulah perumpamaannya. Memang Islam mengajar taaruf tetapi, yang ada sempadannya. Taaruf yang terpelihara dan terjaga daripada kemaksiatan. Tetapi saya cuba menangkis segala godaan itu dengan membaca buku-buku yang di bawa daripada rumah. Setiap waktu solat, saya tidak pernah meninggalkan al-quran, walaupun masa tidak mencukupi saya tetap melakukannya. Begitulah caranya kalau kita tidak mahu diduga oleh permainan dunia yang amat mencabar ini. Saya pulang tetap dengan diri saya yang dahulu. Tetapi, saya berubah dari segi penambahan rohaniah dan pemantapan sahsiah. Ilmu yang memberi manfaat saya cuba gunakan dalam kehidupan seharian. Sewajarnya kita ambil apa yang baik dan tinggalkan apa yang buruk. Kita hanya mampu berserah dan apa yang boleh kita lakukan adalah bertindak setakat mana yang mampu. (Tamat)
Agak panjang ceritanya, itu pun setelah dipadam beberapa ayat. Jika tidak, sudah tentu post saya pada kali menjadi post yang terpanjang. Bagaimana para pembaca sekalian? Apakah pendapat pembaca tentang Muslimah ini? Mampukah kita terutama kaum hawa sekalian melakukan yang sedemikian. Hebat bukan Muslimah ini. Jika dalam situasi yang dijaga dan dikawal oleh orang atasanpun kita tidak mampu hendak menegakkan syiar Islam, apatah lagi dalam situasi yang tiada orang yang akan menjaga kita. Perjalanan di luar sana lebih mencabar dari di PLKN. Lebih banyak dugaan dan rintangan yang Allah akan beri kepada kita. Di sana, tidak ada siapa yang akan menegur kita apabila kita membuat kesilapan. Jika di rumah, ibu bapa dan adik-beradik kita boleh menegur kita. Jika di sekolah, cikgu dan kawan boleh menasihati kita. Tetapi, apabila kita berada dalam keadaan masyarakat di luar sana, siapa yang boleh menegur kita, siapa yang dapat melindungi kita daripada melakukan dosa. Tidak lain dan tidak bukan, kita hanya ada satu option sahaja ketika itu iaitu Allah. Mintalah pertolongan daripada-Nya. Setiap ujian yang diberikan kepada kita bukan untuk melemahkan kita tetapi sebagai satu jalan kepada kita untuk lebih mendekatkan diri kepada-Nya. Ingatlah wahai pembaca sekalian, Allah telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud;
“Allah tidak akan membebani seseorang itu melainkan dengan yang termampu baginya”
Sesungguhnya bebanan yang diberikan oleh Allah, semuanya kita mampu lakukan. Cuma kita sahaja yang mudah mengalah sebelum mencubanya. Allah akan sentiasa bersama dengan orang yang menegakkan syiar-Nya. Janganlah risau dan takut untuk melakukan sesuatu jika ia benar-benar mengikut tuntutan agama. Insya-Allah, selagi tuhan bersama kita, kita akan selamat di dunia mahupun di akhirat kelak. Sekian daripada saya, yang buruk, kita sama-sama jadikannya sebagai sepadan dalam hidup kita dan yang baik kita jadikannya sebagai jalan lurus yang dapat membawa kita menuju ke cahaya Islam yang sebenarnya. Wallahu-A’lam.
Muslimah VS PLKN
Hasil Nukilan & Titik Peluh Serta Penat Lelah Oleh
fAiZ aS-ShoMuUt
pada detik
9:35:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
5 Dah bace? Sila beri sedikit komen anda...:
ko da wat aq 'terhantuk'...crite muslimah ni lbh krg cam aq..cme tmptnye berbeza...dye di plkn..aq di mrsm...aq kagum dgn muslimah ni...tp, aq x skuat n x stabah muslimah ni untk menegakkan undang2 allah...aq akn cbe bangkit smula ckit demi ckit...ko mmg sahabat aq yg terbaik..thanks a lot...
waa...!
houliauo taiko!
syabas!
criter2mu mmg SYOK!
bt toO detail la...
pnjg sgt...
mls na bce...
huhu...
laO ley...
wt shortform+++
pndi2 ar na wt cne....!
k...
gd luck in bloggin...!
saye akan alami situasi ni..sye harap dapat jadikan muslimah ni contoh bile sye kat plkn nt .doakan sye eh .semoga ALLAH beri kekuatan untuk saye :)
wah memang hebat muslimah tu. saya first agak terkejut dengan sikap anti sosial yang dipamerkan muslimah tu sampai ahli keluarga semua bersedih tentang kemasukan ke plkn tu tapi slps habis baca,baru tersedar yang saya dah terpesong jauh sangat ke dalam tarikan dunia. saya juga bakal ke plkn. saya berharap agar dapat jadikan cerita ini sebagai pedoman untuk sentiasa mengingati Allah. doa kan saya ye.
Alhamdulillah..Awak berjaya mengharungi kehidupan di sana dengan penuh ketakwaan dan keyakinan terhadapNya.
In sha Allah.Saya amat berharap kami semua ...dapat menjejaki langkah suci awak dalam menyelamatkan agama tercinta iaitu mampu dan berani menegakkan syiar islam walau di mana kita berada..Doakanlah saya dan rakan rakan rakan yang lain agar diberi kekuatan oleh Allah untuk mengharungi pelbagai ujian dariNya.Semoga cerita awak ini dapat menjadi pedoman buat semua sahabat muslimah kita di luar sana yang sedang mencuba kuat untuk menjaga maruah diri demi Allah Taala
Catat Ulasan