berkata-kata kosong
tanpa manfaat sedikitpun,
bukankah diam itu lebih baik?
Kenapa sibuk mengatakan
keburukan orang lain
dengan tidak henti-henti mengumpat,
bukankah diam itu lebih baik?
Kenapa mulut tidak penat
mengeluarkan kata-kata kesat
meskipun kepada rakan-rakan,
bukankah diam itu lebih baik?
Kenapa masih tidak insaf
berkata-kata buruk
dengan mengutuk orang lain,
bukankah diam itu lebih baik?
Kenapa agaknya mulut itu
tidak boleh dikunci walaupun
untuk masa yang singkat,
bukankah diam itu lebih baik?
Alhamdulillah dapat juga saya menyiapkan post pada kali ini meskipun mengambil masa yang lama untuk mengolah ayat. Mana tidaknya, tajuk untuk post ini pun sudah berjam-jam memikirkannya apatah lagi isi kandungannya. Bukankah diam itu lebih baik?. Beginilah tajuk post saya pada kali ini. Baiklah saya mulakan post saya pada kali ini dengan meletakkan beberapa ungkapan mengenai tabiat orang zaman sekarang, senang cerita, tabiat kita sendiri. Kita tidak perlu tengok jauh-jauh, cukup sekadar kita tengok di sekolah kita. Di kelas. Terlalu ramai yang suka bersembang kosong, mengumpat, mengutuk dan perkara yang sewaktu dengannya. Walaupun kita sendiri tahu bahawa perbuatan seperti ini merugikan diri sendiri. Ada juga yang mengatakan bahawa perbuatan seperti ini dapat menguatkan ukhuwah sesama rakan. Mungkin ada betulnya. Tetapi mungkin buruknya lebih banyak dari baiknya. Jika kita fikir sedetik. Adakah kita rasa bahawa Rasulullah telah bersabda bahawa untuk menjalinkan ukhuwah, hendaklah kita bersembang kosong dan mengutuk orang itu? Sudah tentu Rasulullah tidak bersabda demikian kerana Islam itu syumul. Melalui persahabatan pun kita boleh beribadah. Sebenarnya, bukan ini yang saya hendak ceritakan pada post saya. Saya ingin menceritakan mengenai tabiat diam. Ramai yang mengatakan bahawa orang yang pendiam ini, sombong, pemarah, tidak mahu berkawan dengan orang lain. Betul ke? Kenapa kita suka sangka buruk kepada orang yang begitu. Kenapa kita tidak berasa bahawa orang seperti itu sebenarnya lebih baik dari orang yang suka bercakap tidak tentu pasal. Kita seolah-olah membenci orang yang melakukan kebaikan dan kalau boleh mahu mengajaknya untuk menjadi orang yang suka bercakap kosong atau dengan kata yang lebih jelas lagi, untuk mengajaknya melakukan dosa. Kita tidak berasa begitukah? Tidak salah untuk berkata-kata, tetapi kata-kata itu mestilah yang baik-baik. Jika tidak ada perkara yang hendak dicakap, lebih baik kita diam. Hal ini sejajar dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Bukhari. Maksudnya;
“Barangsiapa siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam”
Orang yang suka berdiam diri atau pendiam itu lebih baik dari orang yang suka berbicara yang tidak keruan. Baik perangai dan baik. Kedua-dua sifat ini merupakan sifat yang baik dan tidak susah untuk melakukannya asalkan hati menyuruh tuan empunya diri berbuat demikian. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud;
“Mahukah kamu aku khabarkan semudah-mudah ibadat dan sesenang-senang atas tubuhnya ialah diam dan baik perangai”
Jika seseorang itu tidak mampu berkata baik, lebih baiklah dia mendiamkan diri. Jangan kita suka mengisi masa dengan mengumpat orang lain, mengutuk dan sebagainya yang boleh menyebabkan diri bertambah dibenci orang dan tuhan. Rasulullah bersabda yang bermaksud;
“Seseorang mukmin itu bukanlah pengumpat yang suka mengumpat yang keji dan yang ucapannya kotor”
Diam orang mukmin itu ibadah,
Ibadah tanpa perbuatan,
Ibadah rasa,
Ibadah yang tidak meletihkan,
Kadang-kadang ibadah ini lebih baik daripada ibadah sunat,
Yang hatinya dalam kelalaian,
Bagaimana orang mukmin itu diamnya menjadi ibadah?
Kadang-kadang memikirkan dosanya,
Kadang-kadang memikirkan apa kebaikan yang nak dibuat,
Kadang-kadang memikirkan nak menolong kawan,
Kadang-kadang dia terasa kebesaran Tuhan,
Atau dia meniatkan, dia diam itu,
Tidak mahu bercakap yang bukan-bukan,
Kadang-kadang dia diam itu,
kalau dia bercakap,
Takut dia melakukan kesalahan,
Seperti dia mengumpat atau,
Kalau dia bercakap, takut-takut menyakiti hati orang,
Atau dia diam itu, menghormati percakapan orang,
Mungkin orang itu bercakap baik dapat pengajaran,
Atau dia hendak mengenal orang yang bercakap itu,
Baik atau jahat,
Dia biarkan saja orang itu bercakap,
Dan mendengar sahaja,
Kerana nak mengenal orang itu,
Kadang-kadang dia diam itu memikirkan dosa-dosa yang lalu,
Ataupun kecuaian dan kelalaian,
Yang telah dibuat, supaya dia bertaubat,
Ataupun mengingatkan ilmu pengetahuan,
Ataupun pengetahuan yang dilupakan datang semula ingatan.
Manusia berbicara setiap masa. Pagi, petang dan malam. Baik dan buruk. Bicara yang baik dapat menjamin keselamatan dan kebaikan kepada manusia. Diri lebih dihormati dan disayangi masyarakat dan tuhan. Tetapi jika bicaranya tidak mengikut adab dan tuntutan agama, dia akan merana di dunia mahupun di akhirat. Di dunia dia dibenci orang dan di akhirat, bicara yang menyakiti hati orang lain menyebabkan kita diseksa di Neraka. Lidah yang dikurniakan Allah bukan dicipta untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya ia digunakan untuk mengeluarkan kalimah-kalimah yang berhikmah. Oleh sebab itulah, diam merupakan benteng kepada lidah kita dari berkata-kata yang tidak berfaedah dan sia-sia. Orang suka berdiam diri itu tidak bermakna dia bodoh, orang yang suka berbicara itu tidak pula bermakna dia cerdik kerana kecerdikan itu merupakan buah fikiran. Orang cerdik yang pendiam itu lebih baik dari orang bodoh yang banyak berbicara.
Diam itu bagus bagi seseorang,
kerana diam itu tersembunyi 1001 hikmah,
tetapi ramai tidak mengetahui.
Diam merupakan ibadah,
dan pahala sebagai ganjarannya,
tidak perlu menggunakan tenaga,
kerana ia ibadah tanpa susah payah.
Diam dapat menghias diri,
iaitu perhiasan tanpa berhias,
ia lambang kehebatan seseorang
iaitu kehebatan tanpa berkerajaan.
Diam merupakan benteng,
benteng tanpa pagar,
benteng dari kemaksiatan
dan seksaan tuhan.
Diam merupakan suatu istirahat,
istirahat kepada malaikat pencatat keburukan,
dan tugas besar kepada
malaikat pencatat amal kebaikan.
Diam merupakan hijab,
iaitu hijab tanpa tabir yang menutupnya,
hijap dari aib seseorang,
di dunia mahupun di akhirat kelak.
Manusia tidak dapat melawan syaitan jika asyik berbicara tak tentu pasal. Cara yang terbaik adalah dengan diam. Diam merupakan ikhtiar yang terbaik kepada setiap manusia itu jika tidak dapat berbicara ke arah kebaikan. Bicara yang baik dan menepati adab adalah lambang hati yang baik dan bersih yang juga bergantung kepada kekuatan iman pada manusia itu sendiri. Akhir kata, satu hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Naim sebagai penutup bicara saya pada post kali ini dan sebagai renungan bersama. Hadisnya bermaksudnya;
“barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya, barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya nerakalah tempat paling layak baginya”
6 Dah bace? Sila beri sedikit komen anda...:
bagus penulisan ini. ;-) dalam keutamaan bergaul dengan kumpulan masyarakat hari ini yang hampir keseluruhannya suka benar mengumpat dan bergelak ketawa dengan lawak lucah, bagaimana kita nak hadapinya? yang lebih sukar lagi adalah apabila kumpulan masyarakat itu adalah di sekeliling kita dan berkepentingan... hal ini amat memeningkan kepala saya...
Assalamualaykom wrbt..
Penulisan blog yg baik. Menepati keadaan semasa masyarakat yg banyak membuang masa kearah tidak tahu tujuan hidup sebenarnya. Perkataan dan percakapan yg baik adalah mechanism penting dalam kehidupan manusia. APA yg nak dicakapkan? Apa soalan yg nak DITANYA? perlukan kefahaman mendalam. Sekiranya ini tidak difikirkan maka banyaklah kerusakan hati berlaku pada manusia
Salam....
Pengisian ilmu yang sangat bermanfaat....
" Diam itu lebih baik dari berkata2 yang mendatangkan sifat MAZMUMAH pada diri sendiri... dan jika diam itu mampu mengelakkan sebarang masalah...pilihan terbaik,
" berdiam diri... "
Setelah membaca semuanya sy rasa ianya menarik dan dalam masa yg sama ada rasa sedih...menarik sbb ianya memberi ilmu baru kepada sy dan sedih kerana niat sy utk berdiam adalah sy takut melakukan kesilapan lg tapi org sekeliling memandang sinis terhadap sy...mgkn dah tiba masanya utk sy diam dari segalanya...^_^
Assalamualaikum...
Izin share yea saudara....
dr Gg...f
nice 2 b....
Catat Ulasan