Aku dan Islam

Sebuah blog yang menceritakan tentang aku, Islam dan hidup aku di sisi Islam....................................................... "Barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima(agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk dalam orang-orang yang rugi" (Ali-Imran, ayat 85)

Wanita ini... Ada lagikah Mereka?

Pada zaman yang serba moden ini, kita dapat lihat perubahan demi perubahan yang berlaku terhadap manusia kini. Perubahan dari buruk ke baik dan tidak kurang juga yang berubah dari baik ke buruk. Waiazubillah. Apa yang saya ingin kongsikan dalam post saya kali ini, saya ingin berkongsikan mengenai ciri-ciri wanita atau muslimah yang sukar dicari dan semakin hilang ditelan zaman. Marilah kita sama-sama perhati dan renungkan mengenai sebuah kisah menarik mengenai Siti Fatimah bersama ayahandanya Rasulullah S.A.W ;

Pada suatu hari Rasulullah S.A.W menceritakan perihal syurga iaitu mengenai nikmatnya syurga dan golongan-golongan akan memasuki syurga. Rasulullah bersabda kepada anak kesayangannya, Siti Fatimah, “Wahai anakku, terdapat seorang wanita yang akan masuk ke syurga lebih awal daripada kamu”. Lalu setelah didengar oleh Siti Fatimah, lantas berubah air mukanya lalu menangis. “Wahai ayahandaku, siapakah wanita tersebut dan apakah amalannya sehingga dia masuk ke syurga lebih awal daripadaku”. Baginda tersenyum lalu memberitahu anaknya bahawa dia seorang wanita yang miskin, tinggal di Jabal Uhud kira-kira 3 batu dari Madinah. Tanpa membuang masa, Siti Fatimah terus berangkat ke Jabal Uhud untuk bertemu dengan wanita tersebut. Apabila sampai dirumah wanita itu, dia mengetuk pintu serta memberi salam. Wanita tersebut keluar dan bertanya akan hajat Siti Fatimah datang ke rumahnya tanpa menjemputnya masuk ke rumah terlebih dahulu. “Saya datang ke sini untuk berjumpa dan berkenalan dengan awak” beritahu Siti Fatimah. Lantas wanita tersebut menjawab,” Terima kasih cik, tapi saya tidak boleh menjemput cik masuk ke rumah saya kerana suami saya tiada di rumah. Saya perlu meminta keizinannya dahulu sebelum awak masuk, apabila suami saya balik saya akan meminta izin daripadanya. Cik datanglah esok.” Dengan perasaan sedih, Siti Fatimah pulang ke rumahnya semula. Pada keesokan hari, Siti Fatimah pergi ke rumah wanita tersebut dengan membawa seorang anaknya, Hasan. Apabila sampai di sana, wanita itupun menjemput Siti Fatimah masuk. Tiba-tiba dia melihat ada seorang budak bersama Siti Fatimah lalu bertanya,”Ini siapa?”. Siti Fatimah lantas menjawab, “Ini anak saya, Hasan”. “Maafkan saya, saya tidak boleh membenarkan budak ini masuk ke dalam rumah kerana saya belum meminta izin daripada suami saya supaya budak ini masuk”, jawab wanita tersebut. Siti Fatimah serba salah. Hendak balik jauh, hendak ditinggalkan budak ini di luar nanti dia menangis, hendak bawa bersamanya masuk belum mendapat keizinan. Lalu dengan rasa kecewa, Siti Fatimah balik ke rumahnya. Keesokan harinya pula, Siti Fatimah pergi ke rumah wanita tersebut dengan membawa kedua-dua anaknya, Hasan dan Husin. Setibanya di sana, dia dengan penuh rasa gembiranya dijemput untuk masuk ke dalam rumah, tetapi wanita itu terkejut kerana melihat ada seorang lagi budak lain bersamanya. “Maafnya cik, seorang lagi budak ini saya belum minta izin daripada suami saya.” tegur wanita tersebut. Tersipu-sipu Siti Fatimah menjawab,”Baiklah, saya datang esok”.

Apabila suami wanita tersebut pulang, wanita itu pun memberitahu tentang budak yang satu lagi itu. Suaminya terkejut dan hairan sambil berkata, "Kenapa awak tahan sampai begitu sekali? Bukankah Siti Fatimah itu puteri Rasulullah S.A.W. dan dua orang anaknya itu cucu Rasulullah? Lebih daripada itu pun awak patut benarkan kerana keselamatan kita berdua kelak bergantung pada keredhaannya (Rasulullah S.A.W.). Jangan awak buat seperti itu lagi. Jika mereka datang lagi ke mari dengan membawa apa pun dan siapa pun, terimalah dengan baik, dan awak hormatlah mereka semua sebagaimana yang patut bagi darjat mereka." Sahut isterinya pula, "Baiklah, tetapi ampunkanlah kesalahan saya kerana saya tahu bahawa keselamatan diri saya ini bergantung pada keredhaan awak, suami saya. Oleh itu, saya tidak berani membuat perkara yang akan membawa kemarahan atau menyakiti hati awak." ."Terima kasih," sahut suaminya, "tapi takkanlah pula sampai awak tidak menerima tetamu perempuan melainkan dengan setahu saya, kerana menghormatkan tetamu perempuan itu wajib pada adat dan agama."

Pada keesokan harinya, seperti yang dikatakan, Siti Fatimah datang ke rumah wanita tersebut dengan membawa kedua-dua anak. Kali ini mereka semua dijemput masuk ke dalam rumah dan dijamukan dengan sedikit kurma dan air. Mereka pun terus memulakan perbicaraan. Ketika itu, wanita tersebut langsung tidak mempedulikan Siti Fatimah. Dia berjalan ke arah pintu seolah-olah menantikan seseorang. Di samping itu, Siti Fatimah melihat di sebelah tangan wanita itu memegang sebuah bekas berisi air dan tongkat. Sebelah tangan lagi mengangkat kainnya ke atas sehingga menampakkan betis dan sedikit peha beserta senyuman yang sangat manis.

Melihat keadaan wanita itu, Siti Fatimah pun bertanya,”kenapa begini?”. “Cik, maafkan saya. Saya sedang menunggu suami saya balik.”jawab wanita tersebut. Siti Fatimah bertanya lagi,”buat apa dengan bekas air itu?”. “Jika suami saya balik dan inginkan air, saya akan cepat-cepat menghulurkan air supaya tidak terlambat, jika lambat nanti dia marah.”jawab wanita itu. Siti Fatimah bertanya lagi,”bagaimana pula dengan tongkat itu?” Wanita itu menjawab,”jika suami saya marah, mudahlah untuk dia memukul saya dengan tongkat ini”. Tanya Siti Fatimah lagi,”kenapa kamu mengangkat kain sehingga menampakkan auratmu?Bukankah ia haram di sisi Islam?”. Maka wanita itu menjawab, "Jika suamiku berkehendakkan saya, lalu dia pandang saya begini tentulah menambahkan syahwat dan nafsunya yang memudahkan kepada maksudnya."

Sebaik sahaja habis wanita itu bercakap, Siti Fatimah termenung dengan hairan, lalu berkata kepada dirinya sendiri, "Jika begini kelakuan dan perangainya terhadap suaminya, tidaklah dapat aku mengikutnya. Patutlah dia masuk syurga lebih dahulu daripada aku. Ternyata benarlah bahawa keselamatan seorang perempuan yang bersuami itu bergantung kepada ketaatan kepada suami dan keredhaan suami terhadapnya." Sambil teresak-esak menangis dan menitiskan air matanya, kemudian Siti Fatimah minta diri dan pulang dengan segera dan terus mengadap ayahandanya, Rasulullah S.A.W.

Sebaik sahaja dia mengadap ayahandanya, dia pun berkata, "Anakanda berasa sangat sedih dan lemah segala sendi anakanda kerana tidak dapat meniru dan melakukan sebagaimana perangai dan amalan wanita yang ayahanda ceritakan itu." Sebaik sahaja Rasulullah S.A.W. mendengar rintihan anakandanya itu, lalu baginda tersenyum lantas bersabda, "Anakanda, janganlah susah hati, wanita yang anakanda jumpa itu ialah perempuan yang akan memimpin dan memegang tali ras kendali tunggangan anakanda ketika hendak masuk ke syurga. Jadi dialah yang masuk lebih dahulu." Setelah mendengar penjelasan itu, barulah Siti Fatimah tersenyum dan ketawa.

Wallahu-A’lam

Sayang Juga Mereka...

Baru-baru ini sekitar akhir tahun 2009, Malaysia digemparkan dengan satu isu agama yang melibatkan agama Islam dan Kristian iaitu isu mengenai penggunaan kalimah Allah. Isu ini dibangkitkan apabila sebuah majalah Herald-The Catholic Weekly dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Negara untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya. Ketika isu ini hangat diperkatakan, ramailah pemimpin negara keluar bersuara seperti Ketua UMNO, Timbalan Presiden PAS, bekas Perdana Menteri negara dan beberapa pemimpin-pemimpin terkenal yang lain. Apa yang saya ingin kongsikan di sinikan, bukan sahaja pejuang-pejuang Islam yang hebat menentang kes ini, malah orang yang tidak tahu mana letaknya agama merekapun turut menentang. Sungguh hebat rakyat Malaysia kini. Orang yang tidak tahulah pernah menyebut kalimah Allah ke tidak dalam sehari pun sangat rancak menentang pembenaran menggunakan kalimah Allah dalam majalah tersebut. Masya-Allah. Sayang sungguh mereka dengan ‘hanya’ kalimah Allah. Bagi saya, jika orang yang hidup berlandaskan Islam menentang isu ini, tidak mustahil pihak yang terlibat dalam pembenaran ini takut kepada mereka. Tetapi, jika orang yang memeluk Islam hanya untuk mendapatkan status ‘Aku beragama Islam’ menentang isu ini, bukan sahaja pihak terlibat tidak takut kepada mereka malah terbahak-bahak mereka ketawakan.

Tapi apa yang peliknya, kenapa kes ini mengambil masa yang lama untuk diselesaikan padahal boleh dikatakan semua penduduk Islam di Malaysia termasuk pemimpin-pemimpin negara sendiri menentangnya? Takkanlah pemimpin tidak boleh melakukan apa-apa untuk membatalkan pembenaran tersebut. Mungkin ada udang disebalik batu ataupun mungkin tidak, kerana udang sangat sedap dimakan dan mungkin udang tersebut sudah hilang dimakan orang. Penentangan mengenai isu ini menjadi hangat apabila Perdana Menteri Malaysia sendiri yang menentangnya secara terus melalui media massa. Kemudian diikuti dengan pelbagai pemimpin negara yang lain dan tidak lupa juga kepada Ketua Wanita UMNO kita. Pelbagai hujah dikeluarkan masing-masing dengan penuh rasa prihatin terhadap Islam. Tetapi kenapa hanya sayang kepada kalimah Allah sahaja? Kenapa tidak sayang kepada hukum Allah? Kenapa tidak mengikut suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya? Tidak ada satupun nas yang mengatakan bahawa sudah cukup kepada umat Islam untuk menyayangi kalimah-Nya sahaja. Jika kita imbas kembali sekitar tahun 90-an, apabila negara dibangkitkan dengan isu penggunaan hukum Hudud dalam pelaksanaan hukuman negara. Kita lihat ketika itu betapa ramainya pemimpin negara yang membantah secara keras penggunaannya. Berapa ramai yang mengatakan dengan kata-kata yang sangat melampau sebagai penganut agama Islam. Banyak kata-kata yang dikeluarkan oleh beberapa pemimpin negara dan antara yang sangat melampau ialah;

  • “Negara akan huru-hara jika undang-undang Islam dijalankan”
  • “Saya akan memastikan bahawa negeri-negeri bawah pimpinan BN tidak akan melaksanakan hukuman Hudud”
  • “Hukuman rejam kepada penzina adalah primitif”
  • “Tujuan menutup aurat dalam Islam adalah pada zaman Nabi dahulu, masyarakat Arab jahiliyah mempunyai nafsu yang kuat sehingga sering menculik dan merogol wanita dari kabilah-kabilah lain sehingga tercetusnya peperangan yang tiada kesudahannya”

Mereka berkata-kata tanpa ilmu yang cukup. Semua main cakap sahaja. Hal ini jelas disebut dalam al-Quran dalam surah Luqman yang disebut dua kali. Kali pertama ialah dalam ayat ke-6 yang bermaksud;

“Dan ada di antara kamu yang bercakap dengan kata-kata yang tidak berguna untuk menyesatkan lagi manusia dari jalan Allah tanpa ilmu pengetahuan serta menjadikannya sebagai bahan ejekan...”(Surah Luqman;6)

Kali kedua pula disebut dalam ayat ke-20 yang bermaksud;

“... dan ada di antara manusia yang membantah tentang keesaan Allah tanpa sebarang ilmu, petunjuk serta kitab yang menerangkannya”(Surah Luqman;20)

Jika kita merenung kepada kata-kata yang keempat tadi, memang kita akan mengatakan masyakat Arab Jahiliyah zalim. Tetapi ingat, namapun Jahiliyah, apa yang mereka tahu. Cuba kita bandingkan dengan dunia hari ini. Masyarakat Arab Jahiliyah melakukan pelbagai kezaliman kerana mereka adalah terdiri daripada golongan yang tidak mengetahui tentang hukum-hukum Allah. Tidak mustahil mereka sering melakukan kezaliman dalam keadaan yang tidak mengetahui apa-apa. Dunia hari ini, walaupun sudah tahu tentang hukum-hukum Allah malah tidak lagi diketegorikan sebagai Jahiliyah seperti masyarakat Arab dahulu tetapi masih berdegil untuk tidak melaksanakan hukuman Allah. Melalui ini, siapakah yang lebih zalim? Kita atau masyarakat Arab dahulu? Sudah tentu masyarakat kini. Tidakkah kita bersyukur kepada Allah yang melahirkan kita dalam keadaan Islam atau memberi hidayah Islam kepada kita untuk memeluknya. Bukan sahaja sukar untuk menzahirkan rasa kesyukuran kepada-Nya, malah menentang-Nya lagi. Ada satu kata-kata yang sering kita dengar dari beberapa pemimpin negara apabila ditanya mengenai pelaksanaan hukum Hudud. “Negara kita terdiri daripada pelbagai agama dan sukar untuk kita melaksanakan hukuman Hudud”. Kenapa kita hendak memikirkan tentang agama lain sedangkan ini negara Islam. Negara yang dipimpin oleh pemimpin Islam. Kita ada hak untuk melakukan apa-apa sahaja kepada negara kita. Bagi agama lain yang tidak bersetuju melaksanakan hukuman hudud, pergilah ke negara lain. Pergilah ke negara yang dipimpin oleh agama mereka sendiri. Malaysia adalah negara Islam. Ada pemimpin yang menjawab bahawa kita mesti menjaga status agama lain. Tetapi kita lihat sendiri apabila kita asyik mengikut kata-kata agama lain, mereka sekarang sudah berani melakukan apa-apa sahaja yang mereka mahukan. Seperti sekarang, agama Kristian sudah berani mencabar agama Islam. Sudah berani mencabar walaupun majoriti penduduk Malaysia menganut agama Islam. Jangan sampai kita ditindas oleh agama lain di negara sendiri. Jangan sampai kita melutut depan agama lain demi menjaga maruah Islam sendiri. Ya Allah, selamatkanlah Islam di negara Malaysia ini. Jadikanlah Islam sebagai rujukan utama kepada negara dalam semua bidang. Kuatkanlah kami untuk menentang musuh-Mu, ya Allah. Lindungi kami daripada tipu helah agama lain yang cuba menjatuhkan kami. Aminn....... Cuba kita perhatikan dalam-dalam mengenai pemimpin-pemimpin negara kita. Apabila seorang ketua berkata ‘ya’, semua pemimpin yang lain turut berkata ‘ya’. Begitu juga sebaliknya. Apabila ketua negara berkata supaya kalimah Allah hanya untuk Islam sahaja, semua pemimpin bersetuju dan tiada seorangpun yang menolaknya. Apabila 10 lesen judi di negara kita diluluskan, semua bersetuju, langsung tiada bantahan. Begitu juga apabila hukuman Hudud tidak perlu dilaksanakan, perkara yang sama berlaku. Semua bersetuju. Semua ikut, baik buruk langsung tidak difikirkannya. Asalkan ketua suka, Allah lain cerita. Kesimpulan yang dapat dibuat di sini berdasarkan masyarakat sekarang ialah mereka sangat pantang apabila agama lain menyebut kalimah Allah dengan mengatakan ‘tidak boleh’ tetapi mengingkari perintah Allah dan mempermainkan hukum-Nya tak apa. Nama Allah sayang tapi hukum-Nya semua ikut selera nafsu sendiri. Wallahu-A’lam..................


 
back to top