Aku dan Islam

Sebuah blog yang menceritakan tentang aku, Islam dan hidup aku di sisi Islam....................................................... "Barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima(agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk dalam orang-orang yang rugi" (Ali-Imran, ayat 85)

Hebatnya Guruku

Pertama kali aku menjejakkan kaki di bumi smka, aku berjumpa dengan ramai guru dengan pelbagai telatah dan perangai. Berbeza sungguh jika dibandingkan dengan guru-guru di sekolah rendah. Mereka melayan para pelajar dengan cara yang lebih matang dan professional. Semua pelajar mengharapkan ilmu dari guru-guru mereka. Bagi aku, bukan itu sahaja. Aku mengharapkan guru-guru sentiasa mengingatku walaupun aku sudah meninggalkan sekolah. Ini kerana guru-guru ini apabila teringat akan anak muridnya, insya-Allah dia akan mendoakan kesejahteraan dan kecemerlangan kita di dunia mahupun di akhirat. Aku sangat suka apabila seseorang guru itu ingat akan aku, paling tidakpun tahu namaku ataupun rupaku. Aku berasa sangat berharga bagi guru tersebut. Semenjak 5 tahun aku di smka, tidak berapa ramai guru yang mengenaliku. Namun, tidak kurang juga yang mengenaliku. Ketika aku di tingkatan 4 dan 5 iaitu di kelas Takwa, ada beberapa guru yang aku minati. Salah seorang guru ini merupakan guru kelasku selama dua tahun berturut-turut. Dia mengajar mata pelajaran agama iaitu Pendidikan Al-Quran & As-Sunnah. Seorang ustaz yang sangat aku sanjungi oleh kerana ilmunya dan tingkah lakunya. Ustaz lepasan Universiti Al-Azhar ini sangat pandai berceramah dan bercakap di depan orang terutama di dalam kelasku. Seorang yang juga pandai membuat orang ketawa. Ilmu yang sangat hebat membolehkan kami sekelas bertanya beberapa soalan mengenai agama dan alhamdulillah kebanyakannya dapat dijawab dengan mudah dan memuaskan hati kami. Beliau turut meninggalkan sekolah bersama-sama kami dan mengajarkan di sekolah lamanya iaitu di SAM Tanjung Karang mulai tahun 2010. Ya Allah, berikanlah ketabahan dan kesabaran kepada beliau untuk mengharungi hidup di masa akan datang. Seorang lagi guru yang aku respect iaitu guru yang mengajarku Komsas. Seorang guru yang sangat ceria dan ‘kecoh’ di sekolah. Beliau sangat disenangi oleh semua orang termasuk guru, pelajar dan orang luar. Beliau sangat pandai mengajar dan bergurau dengan anak muridnya yang pasti akan membuatkan mereka ketawa terbahak-bahak apabila dia masuk ke kelas. Guru lepasan UPM ini sangat tabah dan sabar menghadapi ujian hidup. Salah satu ujian yang dia tempuh yang membuka hatiku untuk berfikir lebih jauh adalah ujian mengenai zuriatnya. Sudah bertahun-tahun berkahwin, tetapi masih belum dikurniakan anak daripada Allah. Sangat besar ujian tersebut yang juga sangat sukar untuk dihadapi oleh kebanyakan para suami pada zaman ini. Sukar untuk mencari seorang suami seperti beliau. Beliau langsung tidak merancang untuk berkahwin lain. Beliau yakin bahawa suatu hari nanti, insya-Allah jika tiba masanya, Allah akan mengurniakan zuriat kepada beliau dan isteri. Ramai anak muridnya termasuk aku sentiasa mendoakan kebahagiaannya. Ya Allah, berilah ketabahan kepada beliau untuk menghadapi ujian-Mu ini yang sangat mencabar. Kurniakanlah beliau zuriat yang banyak, baik serta soleh dan solehah. Berikanlah zuriat kepadanya agar keluarganya terus berkembang dan lebih ramai lagi umat Islam yang akan dididiknya. Satu lagi guru yang aku sanjung, iaitu guru yang mengajarku Kimia dan Biologi. Seorang guru yang suka senyum dan tidak kurang juga yang suka marah anak muridnya. Ketika dia mengajarku Kimia di tingkatan 4, agak susah nak faham. Tetapi alhamdulillah, semenjak dia mengajarku Biologi, banyak yang aku faham. Beliau merupakan guru yang aku minati kerana kehebatannya menempuh ujian hidup daripada-Nya. Pada awal tahun 2008, dia baru sahaja diijabkabulkan dengan seorang lelaki. Beberapa bulan kemudiannya, Allah telah mengurniakan seorang anak. Kalau tidak silap, dalam awal tahun 2009, beliau dimasukkan ke hospital kerana masalah kandungannya. Kandungannya gugur. Ujian yang sangat besar Allah berikan kepada seorang isteri. Ketika dia menceritakan keadaannya kepada kelasku, Masya-Allah, dia mampu tersenyum. Aku tahu beliau sangat sedih kerana kandungannya gugur, tetapi dia sangat tabah menghadapi ujian tersebut. Pada tahun yang sama, beliau mengandung lagi. Pada akhir bulan 10 kalau tidak silap, dia dimasukkan ke hospital lagi oleh sebab yang sama iaitu masalah kandungan. Ketika saat itu, aku mula berdoa kepada-Nya. Ya Allah, selamatkanlah beliau dan anaknya. Janganlah Kau tarik balik anaknya seperti yang Kau lakukan kepada beliau dahulu. Cukuplah dengan ujian-Mu ya Allah. Dia seorang perempuan yang dilahirkan lemah dan jangan Kau lemahkan lagi hatinya. Berikanlah kegembiraan kepadanya dengan kurniaan seorang anak, seorang umat Islam dan Insya-Allah sebagai seorang yang akan menegakkan agama-Mu. Pada bulan 12 selepas beberapa hari aku tamat SPM, aku cuba mendapatkan nombor telefonnya daripada kawanku. Dan semenjak daripada itu, baru aku mendapat tahu bahawa dia sudah mendapat anak dengan maksud nama yang telah diberikan iaitu bunga. Alhamdulillah ku panjatkan kesyukuran kepada-Nya. Ya Allah, tabahkanlah hati beliau menempuh dugaan hidup yang akan datang. Jangan Kau pesongkan hatinya jika dia tidak mampu menghadapi ujian-Mu. Secara amnya, semua guru aku di smka aku minati. Cuma tiga orang guruku di atas merupakan guru yang aku ingin kongsikan kehebatannya menghadapi rintangan hidup dan juga sebagai teladan kepada kita untuk menjadi seperti mereka atau lebih baik daripada mereka. Ya Allah ya tuhanku yang maha Penyayang, Kau berikanlah guru-guru aku kesenangan dan ketabahan menghadapi dugaan hidup terutama dugaan dalam kerjaya mereka iaitu mengajar anak murid mereka. Kau balaslah jasa mereka dengan balasan yang setimpal dengan kebaikan yang mereka lakukan. Tempatkanlah mereka di tempat yang terbaik di akhirat kelak. Amin..... yarabbal alamin.......

0 Dah bace? Sila beri sedikit komen anda...:



 
back to top