Aku dan Islam

Sebuah blog yang menceritakan tentang aku, Islam dan hidup aku di sisi Islam....................................................... "Barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima(agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk dalam orang-orang yang rugi" (Ali-Imran, ayat 85)

Wanita ini... Ada lagikah Mereka?

Pada zaman yang serba moden ini, kita dapat lihat perubahan demi perubahan yang berlaku terhadap manusia kini. Perubahan dari buruk ke baik dan tidak kurang juga yang berubah dari baik ke buruk. Waiazubillah. Apa yang saya ingin kongsikan dalam post saya kali ini, saya ingin berkongsikan mengenai ciri-ciri wanita atau muslimah yang sukar dicari dan semakin hilang ditelan zaman. Marilah kita sama-sama perhati dan renungkan mengenai sebuah kisah menarik mengenai Siti Fatimah bersama ayahandanya Rasulullah S.A.W ;

Pada suatu hari Rasulullah S.A.W menceritakan perihal syurga iaitu mengenai nikmatnya syurga dan golongan-golongan akan memasuki syurga. Rasulullah bersabda kepada anak kesayangannya, Siti Fatimah, “Wahai anakku, terdapat seorang wanita yang akan masuk ke syurga lebih awal daripada kamu”. Lalu setelah didengar oleh Siti Fatimah, lantas berubah air mukanya lalu menangis. “Wahai ayahandaku, siapakah wanita tersebut dan apakah amalannya sehingga dia masuk ke syurga lebih awal daripadaku”. Baginda tersenyum lalu memberitahu anaknya bahawa dia seorang wanita yang miskin, tinggal di Jabal Uhud kira-kira 3 batu dari Madinah. Tanpa membuang masa, Siti Fatimah terus berangkat ke Jabal Uhud untuk bertemu dengan wanita tersebut. Apabila sampai dirumah wanita itu, dia mengetuk pintu serta memberi salam. Wanita tersebut keluar dan bertanya akan hajat Siti Fatimah datang ke rumahnya tanpa menjemputnya masuk ke rumah terlebih dahulu. “Saya datang ke sini untuk berjumpa dan berkenalan dengan awak” beritahu Siti Fatimah. Lantas wanita tersebut menjawab,” Terima kasih cik, tapi saya tidak boleh menjemput cik masuk ke rumah saya kerana suami saya tiada di rumah. Saya perlu meminta keizinannya dahulu sebelum awak masuk, apabila suami saya balik saya akan meminta izin daripadanya. Cik datanglah esok.” Dengan perasaan sedih, Siti Fatimah pulang ke rumahnya semula. Pada keesokan hari, Siti Fatimah pergi ke rumah wanita tersebut dengan membawa seorang anaknya, Hasan. Apabila sampai di sana, wanita itupun menjemput Siti Fatimah masuk. Tiba-tiba dia melihat ada seorang budak bersama Siti Fatimah lalu bertanya,”Ini siapa?”. Siti Fatimah lantas menjawab, “Ini anak saya, Hasan”. “Maafkan saya, saya tidak boleh membenarkan budak ini masuk ke dalam rumah kerana saya belum meminta izin daripada suami saya supaya budak ini masuk”, jawab wanita tersebut. Siti Fatimah serba salah. Hendak balik jauh, hendak ditinggalkan budak ini di luar nanti dia menangis, hendak bawa bersamanya masuk belum mendapat keizinan. Lalu dengan rasa kecewa, Siti Fatimah balik ke rumahnya. Keesokan harinya pula, Siti Fatimah pergi ke rumah wanita tersebut dengan membawa kedua-dua anaknya, Hasan dan Husin. Setibanya di sana, dia dengan penuh rasa gembiranya dijemput untuk masuk ke dalam rumah, tetapi wanita itu terkejut kerana melihat ada seorang lagi budak lain bersamanya. “Maafnya cik, seorang lagi budak ini saya belum minta izin daripada suami saya.” tegur wanita tersebut. Tersipu-sipu Siti Fatimah menjawab,”Baiklah, saya datang esok”.

Apabila suami wanita tersebut pulang, wanita itu pun memberitahu tentang budak yang satu lagi itu. Suaminya terkejut dan hairan sambil berkata, "Kenapa awak tahan sampai begitu sekali? Bukankah Siti Fatimah itu puteri Rasulullah S.A.W. dan dua orang anaknya itu cucu Rasulullah? Lebih daripada itu pun awak patut benarkan kerana keselamatan kita berdua kelak bergantung pada keredhaannya (Rasulullah S.A.W.). Jangan awak buat seperti itu lagi. Jika mereka datang lagi ke mari dengan membawa apa pun dan siapa pun, terimalah dengan baik, dan awak hormatlah mereka semua sebagaimana yang patut bagi darjat mereka." Sahut isterinya pula, "Baiklah, tetapi ampunkanlah kesalahan saya kerana saya tahu bahawa keselamatan diri saya ini bergantung pada keredhaan awak, suami saya. Oleh itu, saya tidak berani membuat perkara yang akan membawa kemarahan atau menyakiti hati awak." ."Terima kasih," sahut suaminya, "tapi takkanlah pula sampai awak tidak menerima tetamu perempuan melainkan dengan setahu saya, kerana menghormatkan tetamu perempuan itu wajib pada adat dan agama."

Pada keesokan harinya, seperti yang dikatakan, Siti Fatimah datang ke rumah wanita tersebut dengan membawa kedua-dua anak. Kali ini mereka semua dijemput masuk ke dalam rumah dan dijamukan dengan sedikit kurma dan air. Mereka pun terus memulakan perbicaraan. Ketika itu, wanita tersebut langsung tidak mempedulikan Siti Fatimah. Dia berjalan ke arah pintu seolah-olah menantikan seseorang. Di samping itu, Siti Fatimah melihat di sebelah tangan wanita itu memegang sebuah bekas berisi air dan tongkat. Sebelah tangan lagi mengangkat kainnya ke atas sehingga menampakkan betis dan sedikit peha beserta senyuman yang sangat manis.

Melihat keadaan wanita itu, Siti Fatimah pun bertanya,”kenapa begini?”. “Cik, maafkan saya. Saya sedang menunggu suami saya balik.”jawab wanita tersebut. Siti Fatimah bertanya lagi,”buat apa dengan bekas air itu?”. “Jika suami saya balik dan inginkan air, saya akan cepat-cepat menghulurkan air supaya tidak terlambat, jika lambat nanti dia marah.”jawab wanita itu. Siti Fatimah bertanya lagi,”bagaimana pula dengan tongkat itu?” Wanita itu menjawab,”jika suami saya marah, mudahlah untuk dia memukul saya dengan tongkat ini”. Tanya Siti Fatimah lagi,”kenapa kamu mengangkat kain sehingga menampakkan auratmu?Bukankah ia haram di sisi Islam?”. Maka wanita itu menjawab, "Jika suamiku berkehendakkan saya, lalu dia pandang saya begini tentulah menambahkan syahwat dan nafsunya yang memudahkan kepada maksudnya."

Sebaik sahaja habis wanita itu bercakap, Siti Fatimah termenung dengan hairan, lalu berkata kepada dirinya sendiri, "Jika begini kelakuan dan perangainya terhadap suaminya, tidaklah dapat aku mengikutnya. Patutlah dia masuk syurga lebih dahulu daripada aku. Ternyata benarlah bahawa keselamatan seorang perempuan yang bersuami itu bergantung kepada ketaatan kepada suami dan keredhaan suami terhadapnya." Sambil teresak-esak menangis dan menitiskan air matanya, kemudian Siti Fatimah minta diri dan pulang dengan segera dan terus mengadap ayahandanya, Rasulullah S.A.W.

Sebaik sahaja dia mengadap ayahandanya, dia pun berkata, "Anakanda berasa sangat sedih dan lemah segala sendi anakanda kerana tidak dapat meniru dan melakukan sebagaimana perangai dan amalan wanita yang ayahanda ceritakan itu." Sebaik sahaja Rasulullah S.A.W. mendengar rintihan anakandanya itu, lalu baginda tersenyum lantas bersabda, "Anakanda, janganlah susah hati, wanita yang anakanda jumpa itu ialah perempuan yang akan memimpin dan memegang tali ras kendali tunggangan anakanda ketika hendak masuk ke syurga. Jadi dialah yang masuk lebih dahulu." Setelah mendengar penjelasan itu, barulah Siti Fatimah tersenyum dan ketawa.

Wallahu-A’lam

1 Dah bace? Sila beri sedikit komen anda...:

sbuah cerita yg menyentuh hty...
xrmai wnita yg sntiasa taat dan setia sbgaimna wnita tersbut..
ataupn mgkn sudah tidak wjud lg pd zaman serba moden ini...

 


 
back to top